Friday, January 25, 2013

tali makin reput, jambatan hampir roboh


Kalau mahu dikatakan kita mampu jalani hidup seorang diri, tanpa sebarang jambatan, tanpa sebarang tali untuk melintasi setiap jurang, curam mungkin sudah terlalu sombong. Merasakan sudah gagah. Mampu tempuhi setiap halangan tanpa bantuan. Selama nafas ditarik, jarang-jarang sekali meniti jambatan tanpa memaut. Mungkin terlalu bergantung. Tapi bukan terlalu mengharap.

Sesekali nafas yang ditarik dilepas ini tersangkut juga. Berdentum-dentam di dalam. Wajarkah? Berbaloikah? Satu-satunya akal fikiran seakan-akan memberontak. Kalau diturutkan bisikan dusta, punah pedoman. ‘Biarlah nampak lemah.’ Itulah yang paling kuat tika itu. Segala yang dihamburkan bukan amarah. Kekecewaan yang tidak pernah hinggap sehingga hari itu. Kerana sentiasa ada tali untuk memaut. Kecewa bila tali yang mahu dipaut kali ini tidak sampai. Mungkin.

Senang sekali membiarkan diri dihujani untuk mereka yang mula-mula menghulurkan tali, membinakan jambatan. Kerana telah dibentukkan jasad mereka didalam hati. Mudah berdarah bila dicalarkan. Itukah kelemahan sebenar?

Selama menghulurkan tali kepada yang lain, tidak pernah terlintas akan habuan. Tidak pernah terlintas akan balasan. Cukup sekadar mereka memahami situasi yang sama mereka pernah lalui. Mungkin kerana memori terbatas. Kenangan itu dibuang untuk memberi ruang pada yang baru. Tiada sisa langsung.

Manusia mudah bongkak apa yang mereka ada yang tidak seberapa. Kerana apa yang mereka ada tiada pada yang menghulurkan tangan, mereka mudah untuk menarik balik apa yang dihulur. Hanya kebaikan yang pernah dihulur digembar gembur, kebaikan yang diterima ditutup rapat-rapat. ‘Jangan berdiri disebelah jika tidak mampu berdiri dengan cara yang sama’. Sedangkan untuk berdiri dengan elok sebelum ini pun dipapah oleh orang lain. Ego manusia tidak akan habis. Tidak mahu menerima cara orang lain, tapi memaksa orang lain menerima caranya. Bersyukur? Mari sama-sama bersyukur. 

‘Manusia tidak pernah puas. Sehingga satu tahap, kita mahu tinggalkan yang ada dan capai yang lain.’ Siapa-siapa saja alami. Kadang-kadang tidak menyedari. Kadang-kadang berpura-pura tidak menyedari. Kadang-kadang tersandung sendiri dek terlalu alpa. Masha-Allah. Mudah-mudahan dijauhkan selepas ini. Doa yang dipohon tiap saat.

Malaikat hitam. Itulah yang digambarkan. Hanya wayang hingga penamat. Tiada apa yang benar. Berdakwah ke sana sini tanpa asas. Manusia mudah untuk mendengar, tidak mudah menerima. Sepatah sudah cukup untuk mentafsirkan bermacam benda. Mungkin sepatah  ‘Masha-Allah’ ini pun sudah cukup untuk disalah tafsir. Ya, kerna ego semua yang mahu diterangi itu adalah kegelapan. Keegoannya adalah kebenaran. Bisik-bisik didepan dan dibelakang tiada yang benar. Kerana keegoannya adalah kebenaran. Sekalipun sudah sedar akan kebenarannya, tetap tidak benar. Kiranya sedia mendengar dan sedia menimbang, tiada bencana akan terjadi. Kiranya sedia menerima apa yang dikata, sudah aman dunia. Mengharapkan kesempurnaan sedangkan tahu manusia biasa tiada yang sempurna.

Betullah kata orang. Tidak bermakna kita sayang seseorang itu, kita tidak pernah melukakan hatinya. Namun, siapa saja yang tahu erti sebenar sayang itu? Aku sendiri fahamkah erti sayang itu?








No comments: